Sunday, May 4, 2008

Rasulullah , dalam mengenangmu..

Kelahiran

Baginda s.a.w. dilahirkan pada tahun gajah. Atau tahun berlaku peristiwa Abrahah al-Asyram menyerang Mekah dan cuba meruntuhkan Kaabah. Lalu Allah Taala menggagalkan rencana tersebut dengan menzahirkan tanda keagunganNya sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran al-Karim. Menurut riwayat yang paling tepat ialah pada malam Isnin 12 Rabiul Awwal.


Permulaan yang Ajaib dan Keberkatan yang Jelas

Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim. Ayahanda Baginda, Abdullah meninggal dunia ketika isterinya hamil dua bulan. Setelah kelahiran, Baginda dipelihara oleh datuknya, Abdul Muttalib. Beliau mengupah seorang wanita Bani Saad bin Bakr untuk menyusukan Baginda -sebagaimana tradisi Arab ketika itu - Wanita tersebut bernama Halimah binti Abu Zuaib.
Para periwayat sirah sepakat, ketika itu kampung Bani Saad dilanda musim kemarau. Susu menjadi kontang dan tanaman menjadi kering. Suasana ini berterusan hinggalah tatkala Muhammad s.a.w. menyusu dan tinggal di rumah Halimah. Rumah Halimah dan sekelilingnya kembali bugar menghijau. Kambing ternakannya kembali mengeluarkan susu yang banyak.
Dada Rasulullah s.a.w. dibedah ketika Baginda berada di kawasan permainan Bani Saad. Peristiwa ini merupakan antara irhas nubuwwah dan tanda pemilihan Allah terhadapnya untuk memikul tugas yang mulia. Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas bin Malik:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. didatangi Jibril ketika Baginda dalam usia kanak-kanak. Pada waktu itu Baginda sedang bermain-main dengan rakan sebayanya. Lalu Jibril mendatanginya, memegang dan membaringkannya. Kemudian dia membelah dada Baginda dan mengeluarkan hatinya. Dia mengeluarkan seketul darah daripada hati itu seraya berkata: “Ini akan men-jadi sarang syaitan dalam dirimu.” Kemudian Jibril membasuh hati itu menggunakan jag emas yang berisi air zamzam. Setelah itu dia menutup kembali belahan dada tersebut dan kembali kepada keadaan asal. Kanak-kanak lain berlari-lari sambil menjerit: “Muhammad telah dibunuh!” Sesampainya mereka di hadapan Baginda, Baginda dalam keadaan pucat. Kata Anas: “Sesunggahnya saya pernah melihat kesan jahitan pada dada Baginda s.a.w..
Sesungguhnya ketulan darah yang dikeluarkan daripada dada Nabi s.a.w. merupakan proses penyucian terhadap Baginda daripada situasi asyik, lalai dan berwenang-wenang. Sebaliknya menanamkan sifat bersungguh-sungguh, cekal, serius dan sifat-sifat kejantanan lain. Ia juga menunjukkan perhatian dan pemeliharaan Allah kepada Nabi s.a.w.. Syaitan tiada jalan untuk memperdayakan Baginda. (Fikh as-Sirah, al-Buthi).
Peristiwa ini menjadi faktor Halimah as-Sa’diah mengembalikan Baginda s.a.w. kepada bondanya. Ketika itu umur Baginda genap lima tahun. Tatkala umur Nabi s.a.w. enam tahun, bondanya Aminah pula meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. dipelihara pula oleh datuknya Abdul Muttalib sehingga beliau meninggal dunia. Ketika itu umurnya genap lapan tahun. Maka bapa saudaranya Abu Talib pula mengambil tugas memelihara Nabi s.a.w..


Masa Depan yang Agung

Tatkala genap umur Baginda s.a.w. 12 tahun, bapa saudaranya Abu Talib bermusafir ke Syam untuk berdagang. Beliau turut membawa Nabi s.a.w. pergi bersamanya. Apabila tiba di Busra, mereka melintas di hadapan seorang rahib yang terkenal di sana iaitu Buhaira. Beliau merupakan seorang yang alim tentang kitab Injil dan agama Nasrani. Buhaira telah terlihat Nabi s.a.w.. Beliau mengamati dan bersembang dengan Baginda. Setelah itu beliau berpaling kepada Abu Talib seraya bertanya: “Apa hubungan tuan dengan kanak-kanak ini?” Jawab beliau: “Dia anak saya.” (Abu Talib mengaku Baginda anaknya lantaran beliau amat mengasihi dan
menyayangi Baginda.) Lalu Buhaira berkata kepadanya: “Dia bukan anak tuan. Sepatutnya bapa anak ini telah meninggal dunia.” Maka Abu Talib menjawab: “Dia anak saudara saya.” Buhaira bertanya: “Di mana ayahandanya.” Jawab Abu Talib: “Telah meninggal dunia dan ibunya adik ipar saya.” Lantas Buhaira berkata: “Benar. Bawalah anak ini pulang ke negerinya dan hati-hati dengan orang Yahudi. Demi Allah jika mereka melihatnya, pasti anak ini akan ditimpa kecelakaan. Sesungguhnya anak saudara tuan ini memiliki masa hadapan yang agung.” Lalu Abu Talib segera pulang membawa Rasulullah s.a.w. ke Mekah.


Bersungguh-sungguh Mencari Rezeki

Usia Rasulullah s.a.w. mula meningkat remaja. Baginda mula berusaha mencari rezeki dengan keluar mengembala kambing. Rasulullah s.a.w. bersabda tentang dirinya:
Dahulu saya pernah mengembala kambing penduduk Mekah dengan bayaran qararit.1
Pemeliharaan Allah terhadap Nabi s.a.w.
Allah telah memelihara Baginda daripada segala perlakuan muda mudi yang menyeleweng dan tidak berfaedah.
Sabda Nabi s.a.w. yang mengisahkan tentang dirinya:
Saya tidak pernah terdetik untuk melakukan perbuatan sebagaimana yang dilakukan oleh masyarakat jahiliah melainkan dua kali. Namun Allah melindungi saya daripada melakukannya. Kemudian saya tidak pernah lagi terniat untuk melakukannya sehingga Allah memuliakan saya dengan risalah ini. Suatu malam, saya berkata kepada budak yang mengembala kambing di bahagian atas Mekah. “Kalau boleh kamu jagakan kambing saya. Kerana saya ingin pergi ke Kota Mekah untuk bersembang (melepak) seperti pemuda lain.” Jawabnya: “Baiklah.” Lalu saya pun keluar sehingga sampai di hadapan rumah pertama di Kota Mekah. Saya mendengar alunan gitar. Lalu saya bertanya: “Ada apa ini?” Jawab mereka: “Majlis perkahwinan.” Lantas saya pun duduk ingin mendengar alunan tersebut. Namun Allah menutup telinga saya dengan menidurkan saya. Saya tersedar hanyalah setelah terkena sinaran panas matahari. Kemudian saya pulang bertemu rakan saya dan dia bertanya tentang malam tadi lalu saya menceritakan kepadanya. Pada malam yang lain, saya berkata lagi kepadanya seperti malam sebelumnya. Saya pun pergi ke Mekah, namun perkara yang sama turut terjadi. Setelah itu tidak pernah lagi terdetik dalam hati saya untuk melakukan perbuatan tidak berfaedah itu.


Pergantungan Hanya kepada Allah Taala
Jelas, sejak permulaan lagi ada yang ajaib dalam kehidupan Penghulu Makhluk s.a.w. ini. Sesungguhnya Allah Azza wa jalla ingin agar hati Nabi s.a.w. tidak bergantung selain hanya kepada-Nya. Tidak kepada bonda, tidak kepada ayahanda, tidak kepada datuk, tidak kepada bapa saudara, tidak kepada harta,
tidak kepada kekuasaan dan tidak kepada selainNya. Lantaran pergantungan sebegini merupakan antara elemen penting dalam pembinaan muslim secara umum dan pendakwah secara khusus. Hingga hanya Allah yang mengurus dan memelihara Baginda. Jauh daripada tangan mengajar dan harta yang membekalkan kenikmatan. Hingga Baginda tidak berkata: “Ayah... ayah.” Namun Baginda berkata: “Tuhanku... Tuhanku.”
Agar jiwanya tidak cenderung kepada kemuliaan harta dan pangkat atau kepada kekayaan nenek moyang dan kepimpinan. Lalu manusia keliru tentang kesucian tugas kenabian dengan kemegahan dunia.
Lantaran itu, semua tuduhan yang zalim gagal. Iaitu ada yang mendakwa pendakwah mengejar harta dan pangkat untuk memperolehi kuasa kepimpinan. Atau dalam ungkapan moden ‘memperdagangkan agama’. Inilah yang dijaja oleh golongan sekularis dan arthies sepanjang zaman terhadap para pendakwah yang ikhlas kepada Allah Azza wa jalla.

No comments: